Saturday, 28 December 2030

UTAMA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Sejahtera,

           Segala puji-pujian hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, saya berpeluang untuk mencoretkan sepatah dua kata dalam Blog SMK Seri Ampangan ini. Kesempurnaan dalam semua aspek perlu dititikberatkan kerana blogini akan menjadi medium rujukan terhadap segala perancangan dan pelaksanaan program yang telah direncanakan sepanjang tahun.

Dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, sekolah merupakan gelanggang yang utama dalam menjayakan segala aspirasi yang bertujuan untuk menghasilkan modal insan cemerlang dan berketrampilan dan memperkasakan potensi murid. Untuk menterjemahkan hasrat dan objektif pendidikan, setiap pendidik tidak dapat lari daripada mengharungi pelbagai kemelut dan cabaran. Oleh hal yang demikian, para pendidik perlu menggariskan sasaran khusus yang dapat diukur melalui Indeks Prestasi Utama (KPI).  Saya percaya para pendidik sentiasa siap siaga dengan memperkemas segala prosedur, sumber dan tenaga dalam organisasi bagi mencapai sasaran KPI yang dipateri dalam satu tempoh yang telah ditetapkan. Generasi muda negara kita hari ini perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada antara bangsa yang penuh dengan cabaran.

Akhir kata, saya ingin menyeru kepada semua warga pendidik dan kakitangan pelaksana SMK Seri Ampangan agar saling bekerjasama, sentiasa bersyukur dan bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar kini demi melahirkan modal insan yang berkualiti, berjiwa patriotik dan memahami tanggungjawab membina masa depan negara. Semoga warga kerja SMK Seri Ampangan akan terus mara ke hadapan dengan jiwa yang kental dalam menghadapi  transformasi pendidikan yang semakin kompleks dan bersifat global. Selamat Maju Jaya!


Sekian, terima kasih.

HJH SADARIAH BINTI MD. JALI 
Pengetua Cemerlang,
SMK Seri Ampangan, Seremban

Negeri Sembilan